MUAR: Seorang duda dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol anak rakannya tahun lalu di Mahkamah Sesyen hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tertuduh, Muhammad Firdaus Maula Abdul Rahman, 26, yang sebelum ini pernah diperintahkan menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney pada 2015 atas kesalahan sama, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
“Kamu pernah dihukum sebelum ini, kenapa masih buat perkara sama? Kamu tak rasa bersalah ke merogol kanak-kanak itu yang juga anak rakan kamu?.
“Sepatutnya kamu buat anak rakan macam anak kita sendiri,” tegur Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.
Prosiding di Mahkamah Sesyen pada hari ini sepatutnya permulaan perbicaraan kes tertuduh, sebaliknya bekas pekerja ladang agro itu memilih untuk menukar pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak rakannya berusia 13 tahun ketika kejadian di rumah mangsa di Parit Raja, Batu Pahat, jam 11 malam, pada 11 Januari tahun lalu.
Pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi mengulangi perkara sama terhadap mangsa pada jam 12.30 tengah malam, 23 Januari tahun lalu di lokasi sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang mengenali bapa mangsa datang ke rumahnya pada hari pertama kejadian di mana ketika itu semua ahli keluarganya tiada kerana ada urusan di luar.
Kejadian kedua pula berlaku apabila tertuduh sekali lagi datang ke rumah mangsa dan berbual dengan bapanya.
Tertuduh kemudian mengambil peluang mengulangi perbuatan itu sebaik ahli keluarganya sedang tidur.
Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila bapa mangsa berjaya menahan tertuduh yang ketika itu sedang melakukan perkara tidak senonoh terhadap anaknya dalam sebuah bilik.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kepentingan awam serta kesalahan dilakukan tertuduh serius kerana membabitkan kanak-kanak.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 26 Januari tahun lalu.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman serta pengawasan polis setahun sebaik selesai dipenjara selari dengan Seksyen 26 dan 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
BHonline-