Kuala Lumpur : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan menjalankan audit bebas ke atas HRD Corp.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menterinya, Steven Sim berkata, bagi memastikan ketelusan, juruaudit profesional akan dilantik oleh kementerian itu.
“Berikutan laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023, saya mengarahkan Kesuma untuk menjalankan audit bebas ke atas HRD Corp.
“Audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu dibangkitkan dalam laporan JAN dan PAC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut memberitahu, Kesuma kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya 31 Julai ini.
Menurutnya, tempoh masa audit bebas dan laporan akan dikeluarkan bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit profesional dilantik.
“Audit bebas akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain.
“HRD Corp diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan,” katanya.
Katanya, satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan Ketua
Setiausaha Kesuma Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ditubuhkan bagi memudahcara siasatan yang sedang berjalan, meneliti laporan JAN dan PAC, termasuk hasil siasatan SPRM serta audit bebas.
“Pasukan petugas khas berkenaan akan memastikan tindakan susulan termasuk memastikan penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
-Harian Metro