JIKA anda menetap di sekitar Seremban, Negeri Sembilan atau daerah berjiran iaitu Sepang, Selangor, nama Gastrohub Restaurant & Event Space di Nilai mungkin tidak asing dengan terkenal menawarkan pelbagai menu terbaik pada harga yang berpatutan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Walau bagaimanapun mungkin tidak ramai tahu bahawa salah seorang petugas tetap di premis tersebut sebenarnya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat pendengaran dengan gah memiliki hampir 20 tahun pengalaman luas bekerja dalam bidang kulinari.
Ironi, bagi Nor Adzleen Abdul Karim, perjalanan hidupnya sebelum ini bukanlah mudah dan beliau pernah berniaga dari rumah dan seterusnya memiliki kedai sendiri sebelum terpaksa ditutup ekoran tempias akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Kini anak jati Kuala Lumpur berusia 40 tahun itu menggalas amanah sebagai Ketua Cef Pastri di restoran tempatan popular tersebut dan agak uniknya, beliau merupakan antara graduan dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di Pasir Gudang, Johor awal 2000-an lalu.
“Terima kasih Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana beri peluang kepada OKU untuk sambung pengajian dan belajar sama seperti penuntut normal lain,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan.
PIS yang asalnya dikenali sebagai Politeknik Johor Bahru dan ditubuhkan pada 1998 lalu, sebenarnya antara beberapa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini membuka peluang pengajian kepada pelajar istimewa dalam bidang tertentu.
Ini juga selaras dengan hasrat JPPKK KPT sendiri bagi menawarkan akses pembelajaran sepanjang hayat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan dapat melahirkan ramai lepasan yang mampu membina semula nasib masyarakat setempat.
Nor Adzleen boleh dianggap antara contoh kejayaan graduan politeknik malah ibu kepada dua anak masing-masing berusia 13 tahun dan 15 tahun itu menyifatkan kerjaya sebagai cef ibarat mimpi kerana pernah bercita-cita menjadi tukang masak profesional ketika kecil.
“Saya dapat sokongan kuat daripada arwah bapa saudara yang bekerja sebagai cef dan sepanjang pernah bertugas dengannya, saya melihat kerjaya ini ada banyak potensi luas tetapi agak kurang diterokai golongan OKU mungkin kerana kurang maklumat,” jelasnya.
Mujur ujar beliau, PIS mempunyai ramai pensyarah yang mahir berbahasa isyarat dan gigih mendidik pelajar seperti dirinya untuk tidak berasa rendah diri bahkan mampu pula bersaing dengan pelatih sempurna pancaindera agar sentiasa bangkit maju ke hadapan.
Pada masa sama, beliau bersyukur mendapat galakan daripada suaminya, Mohd. Shaiful Nizam Mohd. Khamis, 40, yang bukan OKU namun turut ditawarkan bertugas di restoran itu dalam bahagian pentadbiran selepas mereka menutup perniagaan lima tahun lepas.
Ditanya apakah impian beliau dalam jangka masa panjang, Nor Adzleen ada menyimpan hasrat untuk membuka sebuah kilang roti yang mampu menjual produk bakeri kepada murid sekolah dengan harga amat murah sebagai satu bentuk tanggungjawab amal jariah.
“Saya dan suami pernah ada beberapa cawangan kecil dan lot kedai pastri sekitar Lembah Klang malah ketika era Covid-19 lalu, kami pernah jual kepada pelajar yang kurang berkemampuan di sekolah tertentu cuma dengan harga 90 sen sebiji kerana berasa kasihan tengok mereka kelaparan,” tambahnya.
Menyentuh apakah nasihat kepada golongan OKU, beliau meminta mereka tidak putus asa dalam pelajaran jika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia tidak cemerlang kerana JPPKK menawarkan banyak program yang mampu memberikan peluang kerjaya baik.
Apa yang perlu ujarnya, hanyalah keazaman kuat untuk menambah baik kehidupan diri dan keluarga meskipun serba kekurangan fizikal serta menginsafi bahawa Allah tidak akan mengubah nasib hambaNya kecuali mereka sendiri yang berusaha memperbaikinya.
Gastrohub Restaurant & Event Space sendiri yang sudah beroperasi lebih lima tahun lalu dengan memiliki sejumlah 30 orang petugas daripada bahagian ‘hot kitchen’, ‘baker’, ‘pastry’ dan ‘service’ serta turut menawarkan latihan amali kepada para pelajar OKU berminat selain peluang kerjaya untuk mereka yang dikenal pasti berkelayakan.
-Mynewshub