BUTTERWORTH : Seorang pekerja kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) di dalam telefon bimbit, pada Jun lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tertuduh, Muhammad Zul Khairi Mohamad Nasir, 33, mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbit miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah permis di Sungai Dua, Butterworth jam 9.35 pagi pada 23 Jun lalu.
Radin Imran, Rosna Jantan bersama 3 adik-beradik suspek serang balai polis dituduh semai ideologi pengganas
Pendakwaan dikemuka mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah kemudian membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menetapkan 19 Ogos depan untuk perbicaraan.
Sebelum itu, tertuduh tiba di Mahkamah Butterworth pada jam 8.45 pagi dan dikawal ketat anggota polis bersenjata.
-Berita Harian