KOTA BHARU – Seorang pemandu treler maut tersepit manakala kelindannya cedera selepas kenderaan itu terbabas di Kilometer 70 Jalan Gua Musang – Kuala Krai dalam kemalangan 8.40 pagi Khamis.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika treler muatan besi buruk itu dalam perjalanan dari arah bandar Gua Musang ke Kuala Krai.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, kenderaan berat itu membelok ke sebelah kiri jalan tetapi pemandunya hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Treler berkenaan terbalik ke sebelah kanan mengakibatkan pemandunya tersepit dan maut di lokasi,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat manakala kelindannya di bawa ke hospital sama untuk rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, bomba menerima panggilan pada jam 7.49 pagi.
Menurut beliau, seramai sembilan anggota termasuk seorang pegawai dan dua jentera bergegas ke lokasi kemalangan dan tiba jam 10.20 pagi.
“Kami menunggu kren tiba untuk bantuan mengalihkan treler yang menghempap mangsa. Operasi selesai pada jam 12 tengah hari,” katanya.
SinarHarian-