Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Perlu Ambil Tindakan Pihak...

BATU PAHAT - Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba...

Lelaki Tak Serik Edar...

SUNGAI PETANI: Seorang pengedar ketum ditahan buat kali kedua bersama 1,190 kilogram (kg)...

Wanita Dakwa Dibuli ‘Samseng...

SEMALAM kecoh di laman Facebook mengenai dakwaan insiden samseng jalanan di Lebuhraya PLUS...

Kanak-Kanak 5 Tahun Mati...

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia di Klinik Kesihatan Padang Rumbia,...

Trend Festival Pakaian Bundle, Vintaj Semakin Popular, Angkat Nama Malaysia Di Mata Dunia

ORANG putih ada menyebut peribahasa yang berbunyi, ‘old is gold’. Ternyata ungkapan itu ada kebenarannya termasuklah dalam soal pakaian seperti baju, seluar dan lain-lain hal yang berkaitan dengannya. Ini kerana, ada pakaian yang telah pun lusuh akibat dimamah zaman, tetapi ia mempunyai nilai-nilai sentimental, sejarah serta kualiti pembuatannya yang juga tinggi.

IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..

Justeru, pakaian yang telah berusia lebih 20 tahun dan ke atas mungkin sudah boleh dikategorikan sebagai vintaj atau ‘old’ kerana memiliki unsur-unsur estetika yang berharga seperti ‘emas’. Apatah lagi apabila ia dihasilkan pada tahun-tahun 1970-an hingga 1980-an yang menyaksikan revolusi fesyen sedang membuak-buak dan mencanak di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Bukan setakat di AS, Eropah dan Jepun, malah trend kegilaan membeli, memakai, mengumpul mahupun menjual pakaian vintaj dan terpakai atau lebih popular dengan istilah ‘bundle’ turut melanda Malaysia, sejak akhir-akhir ini.

Pengumpul dan penjual pakaian vintaj, Gamal Yusoff Jamaludin, 53, berkata, fenomena itu dapat dilihat apabila semakin banyak festival pakaian bundle dan juga vintaj telah dianjurkan di merata-rata tempat di negara ini.

“Kalau ikutkan pasar bundle dan vintaj sudah pun ada di AS sejak tahun 1980-an contohnya di Rose Bowl, Pasadena, California. Ketika itu, ramai pelancong terutamanya dari Jepun yang membeli kerana mereka suka dengan budaya dan fesyen-fesyen pakaian dari AS.

“Di Malaysia trend penganjuran festival pakaian bundle dan vintaj pula telah mula giat diadakan sebelum era Covid 19 melanda lagi. Tetapi selepas reda wabak penyakit itu, trend tersebut dilihat semakin berkembang sampailah sekarang,” katanya kepada Mynewshub sewaktu ditemui di Festival Bundle Never Die ~ Return di Dewan Kompleks Sukan, Taman Hi-Tech, Kulim, Kedah.

Festival yang dianjurkan untuk edisi yang keenam dari 26 Julai hingga 28 Julai 2024 itu menyaksikan lebih 60 vendor yang terdiri daripada pengumpul serta penjual pakaian bundle dan vintaj memperniagakan barangan mereka. Ia termasuklah kasut, topi, seluar jeans, kemeja-t, beg, jersi, tali pinggang dan pelbagai aksesori lelaki mahupun wanita.

Kata Gamal yang berdarah kacukan ‘mat saleh’ campur Melayu dan sering kedengaran bertutur dalam dialek ‘Nogori Sembilan’, festival seumpama itu secara tidak langsung mampu untuk mengimbau nostalgia para peminat terhadap barangan lama yang semakin payah ditemui pada hari ini.

“Festival seperti ini menampilkan ramai pengumpul dan penjual pelbagai kategori pakaian vintaj dari merata-rata tempat di seluruh Malaysia. Misalnya baju-baju band, jenama-jenama terkenal seperti Harley Davidson, Carhartt, Stussy, Supreme dan Levi’s. Ia termasuklah juga aksesori serta pakaian tentera mahupun pakaian ‘street wear’ yang semakin diminati ramai remaja ketika ini.

“Berada di festival ini juga mampu membawa nostalgia para pengunjung seperti berada di pusat membeli-belah pada era tahun 1980-an. Bukan setakat para peminat tempatan, malah ramai penggemar pakaian bundle dan vintaj dari Thailand, Indonesia, Jepun, Singapura, AS, China, Korea dan Eropah yang turut datang ‘menyelam’ ke sini,” ujarnya yang menjual pelbagai jenis seluar jeans vintaj, baju jersi dan seluar askar.

Jelasnya yang pernah menetap di Chicago, AS dari tahun 1993 hingga 1999, banyak faktor yang telah menyumbang kepada perkara itu. Antaranya barangan vintaj kebanyakannya dihasilkan secara ‘hand made’ dan lebih teliti pembuatannya berbanding produk-produk sekarang yang dihasilkan secara besar-besaran tetapi agak kurang menitipkan soal kualiti.

Fenomena itu tambah Gamal lagi, ia secara tidak langsung telah menjadikan Malaysia tumpuan ramai penggemar pakaian vintaj dari luar negara kerana menjadi ‘lubuk’ yang mampu memenuhi permintaan golongan terbabit tanpa mengira usia mahupun bangsa.


Buktinya, bukan setakat Festival Bundle Never Die ~ Return sahaja yang popular di Malaysia amnya dan juga di Kedah khususnya, tetapi banyak lagi festival seumpama itu yang juga telah lama dianjurkan dan bertapak di negara ini.

Antaranya Kuala Lumpur (KL) Vintage Festival yang dianjurkan di Matic, Jalan Ampang, KL, Parit Raja Bundle Festival, Dewan Cina, Batu Pahat (Johor), Festival Bundle D’ Dungun, Arena Square, Dungun (Terengganu) dan Pahang Vintage Festival di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan (Pahang).

Sementara itu, bagi Mohd Shukry Mohd Shukor, 47, pula berkata, selaku peniaga pakaian bundle dan vintaj, beliau menyifatkan festival seumpama itu seolah-olah telah menyatukan ramai peniaga sepertinya dari seluruh negara.

Senario tersebut bukan sahaja menggabungkan lebih banyak barangan bagi disajikan buat para pencinta bundle dan vintaj, malah ia juga telah membina rantaian dalam kalangan anak-anak tempatan yang terbabit dalam bidang yang penuh dengan keasyikan itu.

“Lagi banyak festival dan lebih ramai peniaga bundle itu lebih bagus kerana daripada situlah akan terkeluarnya macam-macam barang yang tidak disangka-sangka. Ini kerana, setiap peniaga mempunyai koleksi barangan yang tersendiri dan berbeza-beza bilangannya. Selama ini pun, kami hanya berhubung melalui media sosial seperti Facebook. Tetapi melalui festival ini barulah kami dapat bersua muka.

“Sebab itu, tidak hairanlah nama Malaysia sekarang ini semakin popular selain Thailand di rantau Asia Tenggara kerana kita mempunyai ramai pengumpul tegar dan peniaga barangan bundle dan vintaj sejak dari dulu lagi. Bagi para pembeli pula, mereka tahu festival semacam inilah yang mereka mahukan bagi mencari barangan yang ‘rare’ dan ramai di antara mereka adalah golongan ‘pemberani’ yang sanggup berbelanja besar asalkan hajat di hati tercapai.

“Fenomena itu secara tidak langsung telah menaikkan lagi nama Malaysia di mata dunia dalam bidang ini,” katanya yang juga merupakan salah seorang peniaga yang dikenali ramai di Pasar Karat di Jalan Raja Bot, KL, sejak hampir 10 tahun yang lepas.

Mohd Shukry yang mesra dalam kalangan rakan peniaga bundle dengan panggilan ‘Azbai’ berharap trend ini akan dapat diperluaskan lagi pada masa depan dan tidak hanya setakat di utara dan selatan serta Pantai Timur Semenanjung Malaysia sahaja, tetapi juga di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Baginya, festival ini adalah suatu tempat yang paling tepat untuk para penggemar pakaian vintaj. Sebab itu, setiap peniaga juga sudah semestinya akan mengeluarkan barangan mereka yang paling ‘rare’ bagi menarik perhatian para pelanggan mereka selain bersaing secara sihat antara satu sama lain.

“Sebab itu, ramai ‘pemberani’ termasuk dari luar negara yang sanggup berbelanja besar kerana mereka tahu barangan vintaj tidak banyak, susah diperolehi dan ia semakin lama semakin pupus. Jadi, bagi mendapatkan semua itu festival bundle adalah antara cara bagi golongan ini mendapatkannya,” ujarnya lagi.

Senario itu tidak menghairankan apabila sehelai kemeja-t lusuh seperti kumpulan thrash metal Jerman era tahun 1980-an iaitu kumpuland Kreator – ‘Out of the Dark’ dijual dengan harga lebih RM750 sehelai dan ia akan menjadi jauh lebih mahal apabila beredar di dalam talian seperti di pasaran e-Bay!

Malah, ada juga barangan yang dijual berlipat-lipat kali ganda lebih mahal harganya daripada itu. Kalau tidak percaya, datang dan lihatlah sendiri di festival-festival bundle yang berhampiran dengan anda kelak.

-Oleh ABDUL AZIZ ITAR

1 komen

  1. Wonderful beat I wish to apprentice while you amend your web site how could i subscribe for a blog web site The account aided me a acceptable deal I had been a little bit acquainted of this your broadcast provided bright clear idea

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori