KUALA TERENGGANU : Ketua Setiausaha di semua kementerian diminta mengemukakan semua rang undang-undang (RUU) terutamanya yang bahari kepada Parlimen dalam tempoh 14 hari.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, RUU yang baharu termasuk pindaan itu akan diedarkan kepada semua Ahli Parlimen bagi membolehkan mereka melakukan kajian untuk dibahaskan.
“KSU ditetapkan dan diberi tempoh selama 14 hari untuk mengemukakan RUU baharu atau cadangan pindaan ke Parlimen.
“Kita sudah memanggil semua KSU dan meminta mereka mengemukakan kertas RUU baharu atau pun cadangan pindaan bagi membolehkan semua Ahli Parlimen membuat kajian untuk dibahaskan,” katanya.
Johari berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan SeMalaysia 2024, di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat.
Mengulas lanjut, Johari berkata, arahan supaya kertas cadangan RUU baharu dan pindaan itu dikemukakan ke Parlimen dalam tempoh itu boleh menjimatkan masa perbahasan oleh semua Ahli Parlimen.
Selain itu, katanya, semua Ahli Parlimen diminta tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mempromosikan diri sendiri.
“Kita nasihatkan semua Ahli Parlimen masuk ke dalam Dewan untuk berbahas serta berhujah dan bukannya jadikan (ia) sebagai modal berpolitik, sebaliknya berbincang dan membangkitkan isu rakyat,” katanya.
Johari berkata, ada antara Ahli Parlimen mengambil masa antara lima hingga 10 minit untuk memperkenalkan diri selain berpantun sebelum berhujah.
“Tindakan itu punca berlakunya kekecohan terutamanya melahirkan rasa tidak puas hati membabitkan masa berhujah.
“Kita juga menetapkan masa persidangan bermula daripada jam 10 pagi hingga jam 8 malam, melainkan dilanjutkan sehingga jam 10.30 malam ketika sesi perbahasan bajet,” katanya.
-Berita Harian