Alor Gajah: Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki memperkosa dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan kandungnya di rumah mereka di Durian Tunggal, di sini, sejak enam tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Nawawi berkata, perbuatan terkutuk suspek berusia 39 tahun itu terbongkar selepas mangsa berusia 14 tahun menceritakan perkara itu kepada rakan sekelasnya pada pertengahan bulan ini.
Menurutnya, rakan mangsa yang curiga dan mengesyaki mangsa dirogol kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada guru kelas mereka.
Katanya, guru kelas berkenaan memanggil mangsa untuk bertanyakan lebih lanjut tetapi mangsa menafikan selain mendakwa tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga atau apa-apa hubungan dengan bapa kandung.
“Selepas beberapa minggu mangsa dipanggil lagi oleh guru yang bertanya perkara yang sama hingga akhirnya dia mengaku dirogol bapa kandung.
“Kejadian pertama berlaku pada awal Julai lalu semasa mangsa berada di rumah dan bapanya meminta mengurut kakinya.
“Selang beberapa minggu bapa mangsa mengulangi perbuatan itu sejurus mangsa pulang dari sekolah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Md Nazri berkata, selepas kejadian mangsa tidak menceritakan kepada sesiapa kerana takut dimarahi oleh bapanya yang memberi amaran supaya hal itu dirahsiakan.
Begitupun kata beliau, pendedahan berkenaan membawa kepada pengakuan kakak mangsa berusia 18 tahun yang pengadu kes dan turut menjadi hamba seks suspek bapa kandungnya sejak 2018.
“Suspek melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sejak berusia 12 tahun dan merogolnya beberapa kali sejak berusia 14 tahun.
“Namun, selepas memasuki kolej vokasional pada usia 16 tahun, suspek hanya melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.
“Pengadu juga tidak pernah menceritakan kejadian dialaminya kepada sesiapa sehingga dia mengetahui adiknya turut menjadi mangsa selepas dipanggil pihak sekolah bersama ibunya pagi semalam,” katanya.
Md Nazri berkata, dalam perjumpaan itu pengadu terkejut apabila guru penolong kanan hal ehwal pelajar sekolah memberitahu adiknya dirogol bapa mereka dan tampil membuat laporan polis.
Terdahulu, suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol dua anak perempuan kandungnya sejak 2018.
Perintah reman sehingga 5 September ini dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee terhadap suspek bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.
HarianMetro-