Ipoh : Bayi perempuan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan ditinggalkan dalam besen berhampiran tong sampah di Titi Serong, Parit Buntar di sini, semalam.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata bayi malang yang dibalut dengan tuala itu ditemukan oleh dua lelaki selepas terdengar suara bayi menangis ketika melalui kawasan itu kira-kira 4.50 petang.
“Orang awam terbabit mendapati ada suara bayi menangis dari sebuah besen yang ditinggalkan di tepi tong sampah ketika melalui kawasan itu.
“Apabila mendekatinya mereka mendapati ada bayi perempuan masih bertali pusat dibalut dengan tuala dan membawanya ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum membuat laporan di Balai Polis Tanjung Piandang,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Azizi berkata ketika ditemukan bayi malang itu dalam keadaan lemah dan pemeriksaan ke atas bayi seberat 2.1 kilogram itu menemukan kesan gigitan semut pada badannya.
Bayi berkenaan kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan siasatan sedang dijalankan termasuk meneliti rakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai-kedai berhampiran lokasi kejadian.
-Harian Metro