“Pearly, tanpa kamu, saya tidak akan berada di sini di pentas terbesar impian setiap atlet. Sukan Olimpik.”
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ini adalah pesanan daripada Thinaah Muralitharan kepada pasangan beregunya Pearly Tan selepas mereka memecah rekod sebagai beregu wanita pertama negara yang berjaya melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik.
Meski tidak berjaya mendapatkan pingat di Paris, kesungguhan pasangan itu mendapat pujian rakyat Malaysia.
Dalam catatan di Instagram, Thinaah menyatakan bagaimana Pearly bergelut dengan sakit dan kecederaan, menyebabkan mereka hanya sempat berlatih kurang dua minggu sebelum menuju ke Perancis untuk kem latihan mereka.
“Saya terus memberitahu diri saya untuk kekal kuat walaupun ada kalanya saya rasa tidak berdaya berlatih tanpa kamu. Semasa di kem latihan kita ada berselisih faham dan saya hanya mahu selesai dengan Olimpik dan pulang ke rumah.
“Tetapi sebaik tiba di perkampungan atlet, saya rasa lain dan perasaan itu tidak dapat digambarkan. Kita memang mempunyai saat-saat janggal tetapi sebaik sahaja pertandingan bermula, kita adalah satu. Kita sokong satu sama lain sepanjang perlawanan, sepanjang setiap rally. Tidak ada satu ketika yang saya rasa tidak bermotivasi.
“Siapa sangka kita berdua boleh mara ke separuh akhir Sukan Olimpik selepas melihat kita tersenarai dalam ‘Kumpulan Maut’. Untuk bermain sehingga hari terakhir permainan,” tambahnya.
Thinaah turut menceritakan “malam tanpa tidur dan tekanan” di perkampungan Sukan Olimpik.
“Mata demi mata, kita berjaya! Kita berjaya sejauh ini…
“Saya tahu pulang tanpa pingat adalah sangat mengecewakan tetapi kita juga perlu memuji diri sendiri kerana tidak semua orang akan berada di sana pada saat-saat terburuk kita tetapi kita akan sentiasa bersama antara satu sama lain. Hanya kita yang tahu apa yang kita lalui. Hanya kita yang mengalami perasaan itu. Jadi saya ingin mengambil masa ini untuk mengucapkan terima kasih kerana berada di sana untuk saya selama ini, maaf kerana pernah mengecewakan kamu.
“Saya tidak tahu apa masa depan dan saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam empat tahun akan datang sehingga Sukan Olimpik akan datang tetapi apa yang saya tahu sekarang saya bersyukur dan gembira kerana saya dapat berkongsi detik berharga ini dengan kamu…
“Dari lubuk hati saya, terima kasih banyak Pearly,” tambahnya.
Semalam, beregu kebangsaan yang menduduki ranking ke-12 dunia, tewas kepada pasangan pilihan keempat dari Jepun dalam usaha mereka untuk pulang dengan pingat gangsa.
Sementara itu, Pearly, dalam catatan Instagramnya, memohon maaf kerana tidak memenangi pingat untuk Malaysia.
Sambil menyifatkan ia sebagai “impian yang tidak kesampaian”, dia berkata: “Saya berharap saya masih berpeluang untuk berdiri di atas pentas ini lagi.”
-Malaysia Kini