KUALA LUMPUR : Polis merampas beberapa peralatan darjah kebesaran susulan siasatan polis ke atas seorang pengarah sebuah syarikat telekomunikasi yang disyaki menggunakan gelaran Datuk Seri yang belum dikurniakan dari Sultan Pahang.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata siasatan ke atas lelaki itu dijalankan susulan daripada laporan polis yang diterima dari Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, baru-baru ini.
“JSJK Bukit Aman menerima laporan polis daripada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang mengenai penggunaan darjah kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang tidak wajar oleh seorang individu.
“Individu terbabit yang juga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi dipercayai menggunakan gelaran itu sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan daripada itu, katanya beberapa peralatan darjah kebesaran (SSAP) antaranya pingat darjah kebesaran serta lencana kereta (emblem) disyaki palsu dirampas daripada individu terbabit.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti suspek lain yang terbabit dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan mana-mana orang supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia adalah satu kesalahan jenayah,” katanya.
Jelas Ramli, individu terbabit boleh dituduh mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran Atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan.
Katanya, jika disabitkan, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Kelmarin, BH melaporkan Istana Pahang membuat laporan polis terhadap seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri yang belum dikurniakan dan masih dalam senarai menunggu.
Laporan itu dibuat di Kuantan pada Jumaat lalu oleh wakil Istana Pahang berikutan penggunaan gelaran Datuk Seri yang belum sah dikurniakan adalah satu kesalahan mengikut undang-undang negeri.
Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, ketika dihubungi BH, mengesahkan laporan polis sudah dibuat selepas semakan mendapati individu terbabit belum menerima gelaran berkenaan daripada Sultan Pahang.
“Bila kita jalankan siasatan dalaman, individu itu didapati menggunakan gelaran Dato’ Sri tanpa dikalungkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang terlebih dahulu. Itu menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Negeri Pahang.
“Laporan polis sudah dibuat pada 26 Julai lalu supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan bagaimana individu berkenaan boleh mengguna pakai gelaran itu,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati lelaki berkenaan pernah dikurniakan gelaran Datuk pada 2015, namun untuk gelaran Datuk Seri, ia masih dalam senarai menunggu.
-Berita Harian