KULIM : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu bergerak lebih pantas dalam meningkatkan industri elektrik dan elektronik (E&E) bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar utama semikonduktor dunia.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perdana Menteri menegaskan, sektor E&E menjadi antara industri penting kepada negara dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi sejak ia mula diperkenal pada era 70-an.
Jelasnya, keyakinan pelabur dapat dilihat apabila syarikat gergasi semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG bersetuju meningkatkan pelaburannya melalui pembinaan fasiliti tambahan bernilai lebih RM34 bilion.
“Saya percaya semua pihak berkongsi pandangan sama di mana kita tidak boleh meletakkan sasaran menjadi pemain industri yang berjaya dalam teknologi baharu jika kita masih bekerja pada tahap sama.
“Terdapat beberapa cabaran lain, tetapi saya yakin kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk sentiasa bekerjasama bersama pelabur dalam memastikan negara ini sentiasa menarik buat pelabur,” katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Infineon Technologies (Kulim) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Technologies AG, Jochen Hanebeck.
Anwar berkata, kemudahan baharu milik Infineon itu akan meningkatkan imej Malaysia di peringkat global dalam menarik lebih banyak pelaburan bertaraf dunia.
Katanya, Malaysia kini berbangga apabila kemudahan pengeluaran semikonduktor milik Infineon adalah yang terbesar di dunia dan hasil produknya dieksport ke peringkat global.
“Projek luar biasa Infineon ini akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global yang semakin meningkat dan ini menjadi daya tarikan utama pelabur ke negara ini.
“Ini juga akan menyokong usaha Malaysia dalam meningkatkan kecekapan dalam pelbagai industri lain termasuk dalam bidang pembuatan kereta elektrik, bateri dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
-Berita Harian