Gua Musang : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pembahagian tanah peneroka dan peserta di semua agensi di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah akan diagihkan secara faraid, berbanding sebelum ini diberikan kepada anak sulung.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pendekatan itu dilakukan bagi mengelak sebarang masalah yang timbul.
“Dari segi pemilikan tanah, kita tidak mahu mengulangi kesilapan di mana sebelum ini pewaris adalah anak sulung kepada peneroka yang meninggal, sebaliknya pembahagian akan dilakukan secara faraid.
“Perkara ini sedang kita lakukan kerana kita tidak mahu menimbulkan sebarang masalah dalam keluarga terutama mereka yang mempunyai lebih seorang anak.
“Isu ini akan diselesaikan dengan segera,” katanya pada sidang media selepas Program Temu Mata Masyarakat Jeram Tekoh, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Zawawi Othman dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menegaskan tanah milikan Lembaga Kemajuan Wilayah membabitkan beberapa agensi yang sudah dibayar premium dan dikeluarkan geran adalah milik agensi berkenaan, bukannya kerajaan negeri.
“Ada dakwaan mengatakan tanah milikan Lembaga Kemajuan Wilayah adalah milik kerajaan negeri. Hakikatnya, Kanun Tanah Negara menentukan mana-mana tanah yang sudah dibayar premium dan gerannya diletak di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah, itu bermakna tanah berkenaan bukan lagi milik kerajaan negeri.
“Hak untuk mengagihkan tanah berkenaan adalah hak agensi-agensi berkenaan. Justeru, saya berharap peserta dan peneroka tidak termakan dengan kenyataan pihak terbabit yang sengaja menimbulkan kekeliruan,” katanya.
-Harian Metro