Shah Alam : Seorang penganggur yang sebelum ini tular di media sosial terbabit cubaan samun juruteknik di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Bagaimanapun, G Nagendaran, 32, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didapati melakukan khianat dengan merosakkan cermin kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima milik seorang wanita berusia 37 tahun dengan kerugian dianggarkan RM100 di luar sebuah stesen minyak di Kesas, dekat Subang Jaya, jam 1 pagi, 7 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badannya di tandas Balai Polis USJ 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, sekitar jam 5 petang, 8 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000, atau penjara sehingga dua tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran menawarkan jaminan RM9,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam, V Partiben Madurai yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan minimum diberikan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak masing-masing berusia lima tahun dan seminggu.
Sasha Diana kemudian membenarkan jaminan RM2,800 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 November ini bagi sebutan kes.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, tular di media sosial satu klip video kamera papan pemuka memaparkan mangsa baru keluar daripada stesen minyak sebelum sebuah motosikal dan kereta hitam berhenti di hadapannya.
Penunggang motosikal terbabit kemudian turun dan dilihat mengambil sebatang objek dipercayai kayu daripada kereta hitam lalu menghayunnya ke arah kenderaan mangsa.
-Harian Metro