SHAH ALAM : Polis sedang menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian dan elemen jenayah dalam kematian Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Setakat ini polis tidak membuat sebarang pengesahan berhubung dakwaan Nidza menjadi mangsa kejadian jenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat sebelum Polis Selangor mengeluarkan kenyataan selanjutnya.
“Pada masa ini kita masih belum dapat mengesahkan dakwaan menyatakan adanya unsur jenayah dalam kejadian ini meskipun ada dakwaan menyatakan ada barang yang hilang.
“Memang di lokasi ada menemui telefon pintar dan dompet.
“Kita masih menunggu laporan bedah siasat ke atas mangsa dikeluarkan Hospital Shah Alam,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi UiTM kali ke-9 di UiTM Shah Alam, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang, petang semalam adalah Nidza Afham.
Menurutnya, jenazah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses selanjutnya.
Mangsa dilaporkan hilang 7.45 petang kelmarin selepas keluar berjoging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam sebelumnya.
Dompet dan telefon bimbit Nidza Afham yang juga abang kepada penyanyi, Aufahanie dan pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku, ditemui di Jambatan Sungai Klang
-Berita Harian