Thursday, October 24, 2024

Creating liberating content

Semarak Merdeka, Plus Pamer...

KUALA LUMPUR – Bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mempamerkan visual...

Permulaan Kepada Himpunan Lebih...

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Himpunan...

Suri Rumah Maut Dalam...

IPOH — Seorang suri rumah maut dipercayai akibat dijerut dalam kejadian samun di...

Perak Melonjak Ke Tangga...

KUALA LUMPUR - Perak melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas mencatat kemenangan...

TMJ Dan JDT Berpisah Tiada

BAGI mereka yang pernah menonton Selamat Pagi Malaysia di TV1 pada 2016 lalu mungkin ada ‘terperasan’ topik panas mengenai perlawanan akhir Piala FA dengan pertembungan unik antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS di Stadium Shah Alam.

IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..

Ketika itu, semua pengacara program bual bicara di saluran berkenaan tampil bergaya mengenakan jersi kelab elit Selangor tersebut kecuali Ivan Toh, seorang penyampai Berita Perdana berketurunan Tionghua yang suka tersenyum serta dianggap ‘budak baharu’.

Hanya dia yang agak janggal memakai jersi JDT tetapi kurang bercakap dengan sesekali pula bersuara meluahkan keyakinan skuad Harimau Selatan ini mampu menjulang piala pusingan kalah mati itu buat julung kali dalam sejarah selepas diperkenalkan pada 1990.

Sekadar rekod, pada pentas final 1998, Johor (boleh digelar sebagai ‘abang’ JDT namun kini cuma bertaraf JDT II) pernah menang tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, manakala ketika perlawanan akhir 2013 pula, JDT kalah 0-1 kepada Kelantan.

Ivan tampak malu alah sepanjang program berkenaan walhal JDT merupakan juara Liga Super sebelumnya pada 2014 dan 2015 lalu (bahkan kemudian boleh menang secara berturut-turut lagi pada 2016, 2017, 2018, 2019, 2020, 2021, 2022 dan terkini ialah 2023).

Hakikatnya, sejarah membuktikan bukan sahaja Ivan seorang, malahan ramai penyokong JDT sendiri yang tentu terkejut apabila sebelah malamnya, PKNS yang disifatkan sebagai ‘pilihan’ ditumbangkan mengejut oleh lawannya ‘underdog’ JDT dengan keputusan 2-1.

Itu cerita lama sudah berlalu tetapi barang kali ramai tidak sedar perjalanan JDT bangkit gah bukan bermula mudah pada 2013 apabila dibina kembali oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang kini juga merupakan Pemangku Sultan Johor.

Ketika itu, baginda pernah dirakamkan termenung panjang seorang diri duduk di bangku hujung Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru selepas setahun mengambil alih tampuk pentadbiran tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Langkah TMJ pada masa itu dianggap nadir kerana semua persatuan sukan di Malaysia waima bola sepak negeri habis dikuasai orang politik namun baginda cuba mengubah trek ala gaya antarabangsa pengurusan kelab liga profesional Eropah terutamanya England.

Antara perkara pertama dilakukan oleh baginda dan mungkin disindir sebagai pelik ialah menaik taraf stadium ‘klasik’ yang dibina pada 1964 itu dengan kos RM10 juta termasuk rumput padang, bilik persalinan pemain dan pengubahsuaian ruang dalaman eksklusif.

Meskipun kapasitinya cuma mampu menampung 28,000 penonton, premis itu mendapat pengiktirafan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai antara stadium terbaik di benua ini dan satu-satunya diberi status pelesenan penuh bagi kejohanan Liga Juara-Juara AFC.

Setelah itu, TMJ mula merekayasa imej JDT yang diasaskan sejak 1972 sebagai PKENJ FC apabila baginda dilantik menjadi Presiden PBNJ pada 2012 menerusi rombakan paling besar dengan Johor FC dan Johor FA diletak di bawah pengurusan tunggal serta stabil.


Kedua-dua entiti itu dinamakan sebagai Johor Darul Ta’zim FC atau JDT dengan maskot gelaran Kala Jengking digantikan kepada Harimau Selatan berdasarkan lambang Majlis Negeri Johor sendiri selain pengenalan sistem pas musim untuk semua perlawanannya.

Logo pasukan ini juga diubah yang menampakkan imej harimau mengaum berbanding corak bangunan kilang sejak 1996, manakala jersi rasmi pasukan diperbaharui dengan warna biru merah untuk perlawanan tuan rumah daripada kuning hitam sebelumnya.

Transformasi yang diperkenalkan TMJ membuahkan hasil apabila JDT layak ke final Piala Malaysia 2014 iaitu kali pertama dalam sejarahnya selepas 23 tahun Johor FA pernah mara ke akhir pada 1991 menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Meskipun JDT kalah 3-5 menerusi penentuan penalti selepas seri 2-2 dengan lawannya, Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tahun tersebut, skuad ini mulai bangkit untuk muncul sebagai juara piala tersebut kemudian pada 2017 sebelum 2019, 2022 dan 2023.

TMJ ternyata watak penting dalam mencorakkan hala tuju bola sepak negeri itu walaupun baginda membuat kejutan dengan melepaskan jawatan Presiden Johor FA pada 2015 namun masih berkhidmat atas kapasiti Penaung Diraja ketika nama JDT semakin hebat.

Siapa boleh sangka pada tahun berkenaan, JDT melakar sejarah mempertahankan Liga Super buat tahun kedua berturut-turut selain muncul kelab pertama Malaysia mara ke akhir Piala AFC dan pertama dari rantau Asia Tenggara yang menjuarai peringkat benua.

Momentum tersebut diteruskan lagi pada tahun berikutnya dengan bukan sahaja berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih, malah memenangi Piala FA buat pertama kali dan menamatkan kempen liga tanpa kalah sekali gus kelab pertama yang berbuat demikian.

Hari ini, sebut sahaja nama JDT, para peminat tanah air sudah boleh membayangkan aura kehebatan bukan sahaja Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, bahkan barisan pemainnya yang berkelas antarabangsa dan setaraf kelab-kelab profesional di Barat.

JDT juga merupakan pasukan tunggal di negara ini yang memiliki kemudahan gelanggang latihan paling moden selain struktur kejurulatihan dan barisan pelapis pemain cukup lengkap sehingga dicemburui oleh banyak kelab lain dari Asia Tenggara dan Asia sendiri.

Apa yang pastinya, sentuhan emas Tunku Ismail dalam arena bola sepak Johor secara khusus dan Malaysia pada umumnya tidak boleh disangkal lagi oleh mana-mana pihak dengan baginda membuktikan tiada perkara mustahil jika ada iltizam serta komitmen.

Slogan keramat ‘Luaskan Kuasamu’ yang asalnya diejek konon macam budak-budak, kini amat digeruni lawan kerana ia membuktikan wawasan TMJ dalam merombak imej bola sepak tempatan ke arah berstatus global bukan lagi sekadar lamunan impian kosong.

-Mynewshub

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori