KUALA LUMPUR: Bahan rampasan dalam Operasi Global (Op Global) Fasa 4 akan dijadikan bukti sokongan terhadap pegangan akidah pengikut kumpulan GISB Holdings (GISBH).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata bahan bukti itu akan dijadikan asas dalam kertas laporan.
Katanya, kertas laporan berkenaan akan dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) yang dijadual berlangsung pada Selasa hingga Khamis ini.
“Keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin diperjuangkan GISBH akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan ini dibawa ke Mahkamah Syariah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sejajar arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), katanya, JAKIM sentiasa berusaha memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Hakimah berkata, sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak.
“JAKIM menghargai kerjasama semua agensi yang terbabit khususnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu JAKIM melengkapkan bahan bukti untuk tujuan tersebut.
“Penghargaan juga kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang memberi kerjasama erat kepada JAKIM selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas,” katanya.
BHonline-