KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri membuat keputusan memansuhkan larangan penjualan padi ke negeri lain, selepas lebih tujuh bulan permit pemindahan padi dari negeri ini dibekukan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata keputusan memansuhkan larangan penjualan padi ke negeri lain bertujuan memberi ruang pendapatan lebih baik kepada pesawah.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mewujudkan persaingan lebih sihat dalam kalangan pengusaha kilang padi di negeri ini.
“Keputusan memansuhkan larangan penjualan padi ke negeri lain dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Padi negeri yang diadakan kelmarin.
“Langkah itu diambil selepas kita mendapati harga belian padi di negeri ini lebih rendah jika dibandingkan di negeri lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Difahamkan, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di seluruh Terengganu adalah 12,542 hektar dengan 5,323 hektar membabitkan kawasan dalam jelapang dan 7,221 hektar di luar kawasan itu.
Jumlah keseluruhan pengeluaran hasil padi di seluruh negeri adalah kira-kira 63,760 tan setahun.
Pada Mac lalu, kerajaan negeri mengarahkan semua permit pemindahan padi keluar dari negeri ini dibekukan dan antara mekanisme kawalan bagi mengelak hasil padi negeri dijual ke negeri lain.
Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, berkata kerajaan juga turut mengambil kira pelbagai kenaikan kos, termasuk peningkatan harga baja yang terpaksa ditanggung pesawah, sebelum memutuskan memansuhkan larangan penjualan padi ke negeri lain.
“Kerajaan negeri berpendapat persaingan sihat perlu dibuka dalam kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan harga terbaik bagi menarik pesawah menjual padi ke kilang masing-masing.
“Kebanyakan kilang padi di negeri ini membeli padi pada harga lantai tanpa penetapan harga siling seperti ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu RM1,300 bagi setiap satu tan, sedangkan harga padi ditawarkan pengusaha kilang di negeri lain adalah RM1,800 satu tan,” katanya.
-Berita Harian