Tawau : Anggota tentera dihukum penjara 80 bulan serta denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memandu berbahaya hingga menyebabkan kematian rakannya, tahun lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hukuman diputuskan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Muhammad Aiman Zahari, 27, turut diperintah menjalani hukuman penjara 11 bulan lagi jika gagal membayar denda dan hilang kelayakan memegang lesen memandu dalam tempoh lima tahun.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman sehingga rayuan difailkan, namun wang jaminan berjumlah RM2,200 yang ditawarkan sebelum ini ditambah RM1,000.
Terdahulu, peguam Goldam Hamid yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan mengambil kira itu kesalahan pertama anak guamnya yang tiada rekod jenayah lain, selain tidak berniat mengakibatkan kecederaan mahupun kematian kepada sesiapa dalam kemalangan itu.
“Anak guam juga cedera parah dalam kemalangan itu, turut merasai kesedihan keluarga mangsa kerana hubungan mereka berdua rapat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri memohon hukuman berat ke atas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam, selain pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
“Akibat pemanduan berbahaya oleh tertuduh itu telah meragut nyawa mangsa yang bergelar seorang suami dan bapa kepada seorang anak lelaki yang masih kecil yang sehingga kini masih mengalami trauma dan gangguan emosi,” katanya.
Pendakwaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Perbicaraan terhadap tertuduh bermula 4 Oktober 2023 yang membabitkan enam saksi pendakwaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa memandu kereta Honda City bersama empat penumpang iaitu dua rakan sekerja dan dua wanita (orang awam) menghala ke Bandar Sri Indah (BSI) dari premis hiburan di Pusat Bandar Fajar, di sini pada 2 pagi, 16 April 2023.
Apabila tiba di lokasi di Batu 7 Jalan Apas, kereta dipandu tertuduh hilang kawalan, lalu terbabas sendiri dipercayai dipandu laju, menyebabkan mangsa, Mohd Asyraf Ibrahim, 26, yang duduk di tempat penumpang hadapan parah dan meninggal dunia pada 9.42 malam, 17 April 2023 di Hospital Tawau.
-Harian Metro