KUALA KRAI – Seorang ibu yang dalam perjalanan menghantar anak perempuannya ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Selangor maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki menggelak bangkai lembu di Kilometer 57 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini pada Jumaat.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Norma Mat, 55, yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan tersepit dalam kereta jenis Perodua Bezza dalam kejadian yang berlaku pada jam 6 pagi.
Suami Norma, pesara berusia 61 tahun yang memandu kereta itu mengalami sakit di bahagian dada manakala anak perempuan mereka berusia 24 tahun cedera di kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada jam 6.57 pagi.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, kenderaan itu dipandu dari arah Ketereh menghala ke Kuala Lumpur.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kenderaan mengelak seekor lembu yang mati di tengah jalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik di dalam longkang.
“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan tersebit dan dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Krai,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.
Menurut beliau, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Forensik Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.
“Bangkai lembu itu berada di tengah jalan akibat dilanggar oleh kenderaan lain sebelum kemalangan ini berlaku.
“Siasatan polis masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SinarHarian-