IPOH: Kertas siasatan berhubung insiden bendera China dikibar di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Khamis lalu dirujuk kepada Bahagian Perundangan (D5) Bukit Aman, hari ini, sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata pihaknya menunggu arahan untuk tindakan susulan sama ada perlu menambah bukti atau meneruskan dengan pertuduhan di mahkamah.
Beliau berkata, semua 16 warga China yang mengibarkan bendera asing itu masih berada dalam negara dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan polis.
“Mereka masing-masing lapan lelaki dan lapan wanita berusia 40 hingga 61 tahun itu mengaku mengibar bendera China pada perarakan itu.
“Hasil semakan polis mendapati penganjur membuat permohonan kebenaran untuk menganjurkan perarakan itu pada 6 September dan diluluskan pada 2 Oktober lalu, namun pihak penganjur melanggar syarat permit kerana membenarkan warganegara asing turut serta dalam perarakan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular video memaparkan beberapa individu mengibarkan bendera China, sambil bersorak ketika sambutan Guan Gong Sedunia di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Khamis lalu.
Perarakan berunsur keagamaan dan membabitkan kereta berhias itu berlangsung dari jam 8 malam hingga jam 11.30 malam itu turut disertai 400 penonton.
Azizi berkata, setakat ini polis menerima 61 laporan berhubung perarakan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana pihak penganjur melanggar syarat permit dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera asing ketika perarakan,” katanya.
BHonline-