GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menyambut baik pengumuman pelaksanaan projek Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua yang dibentangkan dalam Belanjawan Madani 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana ia merupakan keperluan yang amat meruncing kini.
“Kerajaan negeri menyambut baik apabila akhirnya projek Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua dibentangkan dalam Belanjawan 2025.
“Tidak dilupakan juga, Belanjawan 2025 Persekutuan turut mengumumkan beberapa pelaksanaan projek Persekutuan lain khusus untuk Pulau Pinang, antaranya Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang, Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Projek Batu Kawan Industrial Park 3,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang berharap permohonan dua projek besar di negeri itu dimasukkan dalam Belanjawan 2025.
Dua projek itu adalah Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua dan ‘Penang Silicon Design @5km ‘.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pengumuman untuk membina sebuah lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bahagian Seberang Perai juga amat dialu-alukan yang mana ia bakal meningkatkan lagi mutu pelbagai perkhidmatan awam sedia ada di UTC @ Komtar.
“Kesemua projek berkaitan realitinya bakal membawa serta menyuntik kepada pembangunan negeri ini secara keseluruhan.
“Justeru, adalah menjadi harapan saya dan juga seluruh rakyat Pulau Pinang agar pelaksanaannya disegerakan serta menepati jadual pelaksanaan ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, mengenai agenda pembangunan tanah wakaf oleh agensi Persekutuan, UDA Holdings Berhad (UDA) di Pulau Pinang, kerajaan negeri tiada halangan dan akan menyokong hasrat tersebut.
“Ini kerana, ia selari dengan permintaan yang pernah diutarakan oleh beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan di negeri ini untuk membangunkan semula penempatan Melayu serta meningkatkan pegangan hartanah mereka di negeri ini terutama bahagian pulau.
“Sementara itu, dalam aspek pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) menelusuri semikonduktor AI selari dengan status Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon.
“Bagi saya, kelebihan kepada universiti awam berkenaan akan memacu lebih banyak potensi pelaburan ke negeri Pulau Pinang pada masa hadapan,” katanya.
-Sinar Harian