KUALA LUMPUR : Malaysia akan menghulurkan bantuan kemanusiaan dan bencana kepada Filipina yang sebahagian rakyatnya kini terjejas akibat Siklon Tropika Trami dengan 40 kematian sudah dicatatkan setakat ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bantuan itu sebagai maklum balas kerajaan terhadap Nota Diplomatik dikemukakan Filipina kepada Kedutaan Malaysia di Manila memohon bantuan kemanusiaan dan bencana.
Katanya, bantuan yang diperlukan negara itu adalah dalam bentuk aset udara dan logistik untuk penghantaran barangan bantuan ke kawasan yang terjejas bencana.
“Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama-sama
Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Malawakil Malaysia di Filipina telah melaksanakan koordinasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).
“Sebagai tindakan segera, Malaysia telah menawarkan kepada Filipina satu pesawat C-130 Hercules bagi tujuan mobilisasi udara barangan bantuan ke kawasan-kawasan yang terjejas.
“Selain itu, pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bersedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, hari ini Malaysia menghantar satu aset udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Helikopter EC725 bersama 16 anak kapal untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, berkata pasukan terbabit sudah berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dan tiba Pangkalan Udara Villamor di Manila pada jam 2.48 petang tadi.
Katanya, tempoh penugasan adalah selama lapan hari, bermula hari ini hingga 2 November ini.
“Puluhan ribu penduduk di Filipina terus terjejas akibat banjir besar yang berpunca daripada hujan lebat yang bersamaan jumlah hujan dua bulan dalam tempoh hanya dua hari di beberapa kawasan.
“Siklon Tropika Trami yang kini berundur ke laut telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 kematian, dan ribuan mangsa masih terperangkap di atas bumbung rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata laporan ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance On Disaster Management (AHA Centre) merekodkan tujuh kematian, 197,000 mangsa dipindahkan dan kira-kira 2.8 juta penduduk terjejas akibat bencana ini.
“Seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar keadaan di Filipina segera pulih dan segala usaha bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa yang terjejas.
“Malaysia komited untuk bekerjasama erat dengan Kerajaan Filipina dalam misi bantuan kemanusiaan ini,” katanya.
-Berita Harian