BATU PAHAT: Seorang penjaga stor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan teman wanita selepas bergaduh berhubung isu tidak membalas mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp, Khamis lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tertuduh, Muhamad Nurhaqimi Harun, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan dengan menampar teman wanitanya berusia 20 tahun di sebuah kedai haiwan peliharaan di Jalan Parit Bilal, di sini, pada jam 12.15 tengah hari, 10 Oktober lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Disyorkan
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika teman wanitanya menghantar makanan tengah hari di tempat kerja tertuduh.
Siasatan polis mendapati, perang mulut berlaku antara mangsa dan tertuduh kerana wanita itu tidak berpuas hati apabila mesej ‘Good Morning Sayang’ yang dihantarnya tidak dibalas.
Suasana bertukar menjadi tegang apabila tertuduh berang lalu menampar pipi kiri mangsa hingga cedera ringan.
Susulan kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 terhadap tertuduh atau penjara 14 hari jika gagal membayar denda dikenakan.
BHonline-