SUNGAI SIPUT : Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penekanan terhadap sesuatu bahasa ibunda khususnya di sekolah vernakular atau sekolah yang menggunakan bahasa itu dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran tidak seharusnya meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perdana Menteri berkata, menerusi sistem pendidikan di negara ini yang mempunyai komitmen mengiktiraf sekolah vernakular selain berusaha ke arah peningkatan mutu bahasa digunakan, penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga sangat penting.
“Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, tetapi pada masa sama tingkatkan mutu bahasa ibunda, kalau di sekolah Tamil maka bahasa Tamil dan di sekolah Cina, maka bahasa Cina. Orang lain yang hendak kuasai bahasa Arab, Perancis atau Jerman, juga diizinkan, tiada masalah tetapi dasar negara kita penguasaan bahasa itu sangat penting.
“Saya ingatkan guru di sekolah Tamil atau Cina, jangan berasakan penguasaan bahasa tidak penting. Kita di Malaysia mahu semua boleh berkomunikasi dengan baik di antara satu dengan lain. Kita sudah sepakat, sebelum kemerdekaan, (supaya) guna bahasa kebangsaan.
“Selain itu, kita juga sepakat tingkatkan mutu penguasaan (bahasa ibunda). Apa ruginya jika ramai kuasai bahasa Tamil dan bahasa Cina? Bagi kita (ia) menguntungkan negara dan menghormati hak rakyat masing-masing yang memilih menguasai bahasa ibunda dia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Heawood, Sungai Siput Utara, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Anwar berkata, ibu bapa perlu diyakinkan kepada mutu pendidikan anak mereka menerusi budaya baharu yang menghindari pergaduhan dicetuskan menerusi isu berkaitan bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan sebagainya yang disifatkan merugikan negara.
“Untuk meyakinkan ibu bapa berhubung mutu pendidikan anak, penting dan mesti kita ada budaya baharu (iaitu) jangan bergaduh.
“Yang penting, kita perlu tumpu ada sekolah (untuk) tingkatkan mutu pendidikan. Ada aliran Cina, Tamil, dan keputusan kita adalah memastikan anak India dan Cina, seperti juga anak Melayu, Iban, Kadazan (agar) kuasai bahasa Melayu kerana itu bahasa kebangsaan,” katanya.
-Berita Harian