KUALA TERENGGANU : Jalan Kenyir, Kuala Berang ke Felda Aring di Kelantan masih ditutup kepada semua lalu lintas berikutan berlaku mendapan dan runtuhan sejauh 400 meter akibat hujan lebat sejak kelmarin.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim, berkata laluan di Kilometer 187 hingga 189 dari Kenyir ke Aring itu ditutup kepada semua lalu lintas.
Selain itu, katanya, Jalan Kenyir ke Aring di Kuala Jeneris di Kampung Pasir Dula, Kuala Berang juga ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air sedalam satu meter sejauh 130 meter.
“Dua laluan berkenaan antara 37 jalan di seluruh negeri ini yang ditutup kepada semua lalu lintas sejak semalam,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pengguna jalan raya masih boleh menggunakan laluan alternatif untuk ke berapa bandar di negeri ini.
Jalan yang mencatatkan penutupan paling banyak adalah di Hulu Terengganu iaitu sebanyak 19 laluan, Besut (lima), Setiu (lima), Dungun (enam) dan dua di daerah Kemaman.
“Hingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 20 jalan persekutuan dan negeri ditutup untuk kenderaan ringan,” katanya.
-Berita Harian