SUATU ketika dahulu, golongan usahawan Bumputera sering menjadikan kisah kejayaan tokoh-tokoh perniagaan Melayu yang terkenal sebagai idola dan dijadikan contoh inspirasi untuk cuba diikuti jejak kehebatan mereka dalam membina empayar bisnes tersendiri.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Nama seperti Tan Sri Tajudin Ramli yang pernah gah mengetuai Penerbangan Malaysia, selain membangunkan Technology Resources Industries (TRI) yang kemudian dikenali sebagai Celcom, sering dijadikan rujukan anak-anak muda bagi membuka syarikat sendiri.
Begitu juga Tan Sri Dr. Halim Saad yang memimpin Renong dan UEM Group pasti dilihat dalam perspektif hebat menguasai pelbagai portfolio gagah termasuk lebuh raya, stesen televisyen, pengangkutan rel, farmaseutikal, organisasi media cetak serta telekomunikasi.
Tidak ketinggalan Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang boleh disifatkan seumpama mogul perbankan kerana kejayaannya mengasaskan firma perbankan dan pembrokeran saham RHB sehingga pernah dilantik kerajaan terdahulu untuk menerajui Khazanah Nasional Berhad.
Bagaimanapun, tiga contoh berkenaan semakin dilupakan dan jangan terkejut, generasi Z yang lahir selepas era akhir 1990-an apatah lagi terkini, generasi Alfa jika ditanya mereka tentu geleng kepala tidak pernah tahu siapakah individu pemilik konglomerat hebat itu.
Golongan muda sudah tidak ambil peduli siapakah insan tersebut lantaran menyebabkan berlaku umpama vakum dalam dunia korporat tempatan apabila masyarakat Bumiputera berasa seolah-olah tiada lagi orang boleh dibuat sebagai contoh ikutan yang terbaik.
Apakah mereka sudah hilang ditelan zaman atau merajuk membawa diri jauh ke tempat lain untuk tidak mahu diganggu sesiapa atau enggan berkongsi resepi kejayaan kerana bimbang dipandang sinis kononnya naik ada ‘kabel’ dan amalan tatakelola diragui pihak berkuasa.
Ketepikanlah jika benar sekalipun mereka ada kes jenayah kolar putih cuba disorok tetapi apakah dosa bagi tokoh yang jujur bermula langsung sifar atau berjinak-jinak daripada bawah sebelum menaiki tangga dan berjaya akhirnya? Kenapakah mereka juga tiba-tiba hilang?
Adakah mereka jatuh kerana betul-betul gagal dalam melayari cabaran bisnes global yang sengit atau kena menanggung tempias beban kerana perlu akur dengan arahan tangan ghaib seseorang di atas puncak kuasa sehingga menyebabkan perniagaan muflis atau sendu lesu?
Mungkin juga kita akan berpendapat kegagalan bisnes yang diceburi tokoh-tokoh terbabit telah memaksa mereka mengundur diri seperti menjual kepentingan saham atau aset dan ekuiti syarikat terpaksa diambil alih untuk menyelamatkan ribuan pekerja daripada dibuang?
Anehnya apakah usahawan berjaya Bumiputera seperti taikun cukup ternama, Tan Seri Syed Mokhtar Albukhary yang terkenal sering berinfaq membantu masyarakat rentan terpaksa hilang daripada radar dek majoriti kepentingan syarikat mereka dikuasai parti politik tertentu.
Bayangkan apabila PMX dilaporkan pernah menegur tokoh ini konon menguasai pegangan dalam syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akhir 2022 lalu kerana kemelut isu kekurangan bekalan komoditi itu dan kemiskinan pesawah.
Anehnya kenapa perkara sama tidak berlaku kepada bukan bumiputera seolah-olah hanya jutawan Melayu perlu berkorban demi kepentingan negara, walhal mereka itu yang disindir sebagai ‘Type-C’ ini tidak pula disentuh mana-mana pihak dan bebas berbuat apa sahaja.
Terbaharu, rakyat dikejutkan dengan isu penganugerahan tender mega kerajaan untuk projek rangkaian 5G Kedua Malaysia kepada firma yang diketahui milik bukan Bumiputera dan paling lucu, separuh sahamnya dikuasai syarikat luar ada kaitan sayap dana pelaburan Singapura.
Alasan dikemukakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga janggal kerana ia cuba menutup fakta ada lagi operator telekomunikasi tempatan dipegang Bumiputera yang jauh lebih hebat ‘ketimbang’ U-Mobile itu namun dianaktirikan atas dasar kononnya integriti ketelusan Madani.
Di manakah neraca keadilan matematik ditetapkan kerajaan apabila syarikat yang cuma ada 9,000 tapak pemancar dengan hanya lebih sembilan juta pelanggan boleh mengatasi CelcomDigi yang gah mempunyai lebih 25,000 tapak berkenaan dan pelanggan mencecah 21 juta.
Ini mungkin andaian kasar daripada perspektif orang luar namun bahang sebegini masih ada dengan baru-baru ini, seorang lagi usahawan lama yang boleh dianggap sudah kukuh, Dato’ Sri Mohd. Hilmey Mohd. Taib tercalar imejnya kerana manipulasi isu tender NIISe.
Dengan pengalaman luas memimpin Permodalan Nasional Berhad sebelum terjun membuka firma teknologi maklumat milik Bumiputera pertama, Heitech Padu, beliau bukan usahawan gred rendah tetapi nasibnya berubah apabila syarikatnya dikuasai oleh MyEG dengan pengambilan kepetingan 15.89% dan Rosetta dengan 15.9%.
Daripada gah sebagai pengasas, beliau kemudian cuma ada penguasaan 14.6 peratus pegangan saham dan seperti biasa dalam hukum rimba kapitalis, tokoh ini terpaksa ucap selamat jalan melihat syarikat ditubuhkannya itu diambil alih seperti bait tangis dalam lagu Warisan Anak Kecil Main Api.
Ceritera malang ini bukan dongeng purbasangka di sebalik konon zaman sudah bertukar, tetapi ia mengakibatkan masyarakat Bumiputera khususnya Melayu Islam semakin jelik dan tertanya kenapa populasi sebesar 70 peratus hanya ada kek kekayaan kurang 10 peratus.
Sebenarnya, trend sedemikian wajar dielakkan sementelahan penguasaan milik Melayu bukanlah besar mana tetapi ironinya, bilangan sedikit ini pun seperti cuba dihapuskan langsung seperti di Palestin hanya kerana mainan persepsi dan mungkin sentimen politik keterlaluan dan kerakusan ahli politik.
Justeru sesuatu perlu dilakukan segera dan langkah intervensi bagi menyelamatkan tokoh sebegini yang wajar dijadikan usaha berterusan kerana sumbangan serta jasa besar mereka bukan sekadar bersedekah selain membayar zakat bisnes atau infaq jihad ekonomi Islam.
Bahkan amatlah sedih sekiranya syarikat dimiliki oleh usahawan terbabit bertukar pegangan kepada kaum lain akibat ‘silap mata’ tangan-tangan ghaib yang melebarkan lagi jurang kekayaan makin buruk dalam rakyat dan ditakuti mencetuskan kesenjangan nilai imbang kemakmuran.
Tiada lagi pekikan raja formula mencanangkan resepi idea bagi membina negara dan iktisad Bumiputera tetapi masyarakat dihidangkan dengan kelas istilah bahasa pinjaman dari negara seberang yang entah apa-apa bagi mengalih perhatian daripada kelesuan dan penderitaan.
Persoalannya, apakah tindakan yang sudah dilakukan kerajaan campuran selepas dua tahun dibentuk dalam memperkukuhkan agenda ekonomi Bumputera padahal aneka acara meriah dianjurkan saban masa namun walhasilnya situasi lebih teruk ibarat menunggu masa maut.
-Mynewshub