PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung laporan murid serta pelajar dari Thailand merentas Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata jika murid dan pelajar itu adalah warga Malaysia, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku.
“Kalau anak-anak ini adalah warga Malaysia, sepatutnya dia bersekolah dalam Malaysia dan tidak timbul isu dari segi keselamatan mereka untuk menyeberangi sungai itu.
“Tapi kita akan siasat dan ambil maklum mengenai perkara ini kerana bilangan yang didakwa itu sangat tinggi,” katanya pada sidang media hari ini.
BH hari ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Tinjauan mendapati, seawal jam 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 bagi pelajar.
Lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
Suasana di Sungai Golok antara jam 6.30 pagi hingga jam 8 begitu meriah dengan pergerakan bot dan pelajar dari Thailand datang ke Malaysia.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, jika benar murid dan pelajar terbabit adalah rakyat Malaysia, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana pelbagai kemudahan sudah disediakan kerajaan.
“Dari segi akses pendidikan, kita sudah sediakan semuanya di peringkat Kementerian Pendidikan. Jadi saya akan ambil perkara itu untuk disiasat dengan lebih teliti supaya tidak berlaku perkara-perkara terbabit.
“Kerana anak-anak kita yang warga Malaysia memang disediakan sekolah dan isu-isu terbabit tidak sepatutnya berlaku di peringkat warga Malaysia, ini anak-anak kita,” katanya.
-Berita Harian