GEORGE TOWN – Polis menemui nota dipercayai ditulis pelajar perempuan Tingkatan Dua yang maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah sekolah menengah di sini pada petang Isnin.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, menerusi nota tersebut, mangsa menyatakan dia tertekan dalam pelajaran.
“Pihak polis telah menemui nota yang dipercayai ditulis oleh pelajar terbabit dan dia mengatakan tertekan dalam pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat yang telah dijalankan pagi Selasa.
“Setakat ini, keputusan (bedah siasat) belum diperolehi,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar perempuan sekolah menengah maut selepas terjatuh dari bangunan sekolahnya di Jelutong di sini.
Mangsa yang berusia 14 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas terjatuh dari tingkat lapan sekolah terbabit.
Polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang mengenai kejadian terbabit pada jam 5.57 petang.
-Sinar Harian