KOTA BHARU: Mayat seorang wanita ditemukan terapung di tebing sungai selepas tersangkut di mata kail yang dipasang pada batang taut pemancing di Kampung Gaung, Pendek di sini, pagi tadi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Mangsa berkeadaan berpakaian dan bertudung itu dijumpai kira-kira jam 9 pagi tadi sebaik pemancing ke lokasi untuk melihat hasil tangkapan.
Shahrul Nazmie Muhamad, 37, berkata seorang rakan pemancing menghubunginya mengenai penemuan mayat itu sebelum mereka menaiki bot ke lokasi kejadian.
“Saya berada di rumah berhampiran sungai dan rakan memberitahu menjumpai mayat sebelum meminta saya mengikutnya.
“Sebaik tiba di lokasi taut ditempatkan, memang sah ia mayat wanita yang sudah kembung,” katanya ketika dihubungi.
Shahrul Nazmie terus menghubungi pihak berkuasa dan memaklumkan penemuan mayat terbabit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain, berkata pihaknya menerima panggilan jam 10.05 pagi dan anggotanya serta polis menaiki bot ke lokasi.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.
BHonline-