Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan bermula pada 2 Disember hingga 6 Februari depan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Dalam kenyataan, KPM berkata, Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan bermula 2, 3, 4 dan 5 Disember, manakala Ujian Amali Sains pula bermula dari 9,10 dan 12 Disember ini.
“Ujian Bertutur Bahasa Inggeris akan bermula 16,17,18, dan 19 Disember; Ujian Mendengar Bahasa Melayu (31 Disember) dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (31 Disember).
“Ia akan disusuli Peperiksaan Bertulis yang akan berlangsung pada 2 Januari hingga 6 Februari 2025,” kata kenyataan itu, hari ini.
KPM berkata, seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024.
Ia akan membabitkan 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara, dengan seramai 126,636 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Selain itu, KPM turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPM 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan.
“Jadual waktu peperiksaan SPM 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP).
“Calon juga diingatkan membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan, mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan,” katanya.
Menyentuh kemungkinan musim banjir mengganggu perjalanan peperiksaan, KPM berkata, mereka bersiap siaga dengan mekanisme dan persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” katanya.
-Harian Metro