Kota Kinabalu : Kepimpinan tertinggi pentadbir sekolah diminta tidak menyembunyikan sebarang kes berkaitan buli yang berlaku dalam kalangan murid atau pelajar.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya ada menerima laporan sekolah yang menyembunyikan kes buli.
“Kita ada terima laporan (berkenaan pimpinan tertinggi menyembunyikan kes buli di sekolah) dan kita tidak melihat ia sebagai satu perkara yang perlu disembunyikan.
“Kita akan ambil tindakan tegas kepada pimpinan pentadbir sekolah yang bertindak menyembunyikan kes ini kerana kita tidak mahu pihak sekolah tidak mematuhi garis panduan kita.
“Maknanya, dari segi kepercayaan anak-anak (murid dan pelajar) kepada kita sekolah adalah tempat selamat.
“Itu yang penting supaya mereka dapat pergi sekolah dengan selamat dan urusan psikososial dan kesihatan mental mereka dapat kita tangani dengan segera khususnya mereka terbabit kejadian buli ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Buli bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk Likas, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) merangkap Exco Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Datuk Tan Lee Fat.
Dalam pada itu, beliau turut berkata KPM juga sebelum ini telah menyebarkan garis panduan berkaitan perkara terbabit di semua peringkat.
“Garis panduan ini kita ditegaskan berulang kali. Sebab itu saya tidak mahu mana-mana sekolah baik pengetua, guru besar atau guru membuat pendekatan menyorokkan kes ini.
“Saya yakin bila kita ambil pendekatan menyelesaikan kes ini mengikut garis panduan dan juga prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada, kita akan dapat tangani kes ini dengan lebih berkesan,” katanya.
-Harian Metro