KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Hakim memerintahkan hukuman sebatan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu pada 6 Disember depan, selepas solat Jumaat sebaik tamat tempoh rayuan.
Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda dikenakan.
Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakiman berkata, dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, matlamat utama dalam syariat dan dari segi agama adalah memberi pengajaran, pendidikan dan sebagai suatu pencegahan supaya perkara sama tidak berulang khususnya ke atas tertuduh dan juga sebagai peringatan pencegahan ke atas orang awam secara amnya.
“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang sama sebanyak dua kali. Kamu (Mohd Affendi) pernah disebat dan dipenjara, tetapi buat lagi (berkhalwat).
“Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya.
Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia kesalahan ketiga tertuduh.
Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Bapa kepada lima anak itu sekali lagi melakukan kesalahan sama pada 25 Januari lalu, sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari lalu menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Untuk rekod, tertuduh sebelum ini menjadi pesalah khalwat pertama di Terengganu dikenakan empat sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada jam 1.40 pagi pada 16 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
BHonline-