ALOR GAJAH: Seorang warga emas dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan ketika dalam perjalanan membeli makanan awal pagi tadi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Mangsa, Mokhtar Othman, 61 yang juga pengurus kilang, dikatakan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya di Machap, dekat sini kira-kira jam 1.50 pagi.
Difahamkan, mangsa menetap di Shah Alam, Selangor dan pulang ke Machap untuk menghadiri kenduri.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.39 pagi dan memaklumkan terdapat seorang lelaki terperangkap dalam tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera, di sini.
Susulan itu, beliau berkata, dua jentera bomba masing-masing dari BBP Alor Gajah dan Ayer Keroh bersama 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian namun mangsa tiada sejurus pintu tandas dibuka pasukan penyelamat.
“Kami hanya menemui kenderaan mangsa di lokasi berkenaan selain sepasang selipar di tebing sungai, dipercayai milik lelaki berkenaan.
“Sementara hasil rakaman ‘dashcam’ daripada kereta mangsa mendapati dia hanya mundar-mandir dan tidak masuk ke dalam tandas kerana berkunci,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Serentak itu, beliau berkata, bomba mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan permukaan dan di dalam air bagi mengesan mangsa.
“Usaha pencarian masih diteruskan selain unit anjing pengesan juga sudah dihubungi bagi membantu mengesan mangsa,” katanya.
Sementara itu, anak saudara mangsa dikenali sebagai Abdul Haafith, 25, berkata, sebelum kejadian bapa saudaranya itu ada mengadu tidak sihat kerana mengalami cirit birit dan sakit kepala.
“Selepas masih tidak pulang ke rumah, isterinya menghubungi saya kira-kira jam 4.50 pagi untuk bersama-sama keluar mencarinya di kedai mamak dan juga hospital namun kami tidak menjumpainya.
“Mungkin ketika dalam perjalanan ke kedai membeli makanan, pak cik tiba-tiba sakit perut dan berhenti untuk ke tandas tetapi berkunci.
“Saya memohon orang ramai untuk sama-sama berdoa supaya bapa saudara saya segera ditemui,” katanya.
BHonline-