KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) melaksanakan Operasi MURNI dengan memindahkan seramai 300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkandas banjir di Rantau Panjang.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kesemua calon membabitkan beberapa sekolah termasuk Maahad Muhammadi Rantau Panjang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang dipindahkan ke tiga sekolah berasrama di Pasir Mas.
Operasi berkenaan bermula jam 7 pagi itu mengambil masa selama lima jam memandangkan pergerakan perlu mengharungi dua lokasi yang ditenggelami air.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi kenyataan media berkata, operasi berkenaan membabitkan penggunaan sebanyak 11 trak dan 12 buah bot tempur.
“Pelaksanaan operasi khas ini sudah dibincangkan bersama di antara Panglima 8 Briged dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan serta bantuan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kelantan.
“Operasi khas ini dijayakan oleh seramai 21 orang pegawai dan 157 orang anggota lain-lain pangkat dari pasukan 21 RAMD, 5 RRD, 72 Batalion KPD, 74 Batalion KPD, 6 Kompeni Angkut KPD dan 8 Kompeni Angkut KPD.
“8 Briged turut menempatkan pegawai perhubungan di PKOB negeri dan di PKOB setiap jajahan,” katanya.
Justeru katanya, penduduk setempat yang memerlukan bantuan pemindahan boleh menghubungi mana-mana PKOB yang berhampiran untuk koordinasi bantuan.
“TDM akan terus komited membantu penduduk tempatan di Pantai Timur yang terkesan akibat bencana banjir,” katanya.
Jelasnya, operasi itu berjaya dilaksanakan dengan jaya tanpa berlakunya sebarang kemalangan yang tidak diingini kepada semua pelajar.
Namun begitu katanya, sebuah trak 7 tan tergelincir dari jalan raya semasa melalui laluan yang ditenggelami air banjir.
“Kenderaan itu bagaimanapun berjaya dibawa keluar dan sudah beroperasi sepenuhnya,” katanya.
BHonline-