Ipoh: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Perak 2025 berjumlah RM1.52 bilion iaitu jumlah terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah negeri ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Belanjawan Perak 2025 dengan tema ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, 29 November lalu dan meningkat RM170 juta.
Peruntukan Belanjawan Perak 2025 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM981.8 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM538 juta.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumkan belanjawan itu diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga selepas undian secara suara oleh 58 ADUN yang hadir pada persidangan hari ini, tanpa pindaan.
Sementara itu, Saarani (BN-Kota Tampan) ketika menggulung perbahasan turut menyentuh mengenai Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan kepada semua 59 pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak yang digantikan dengan BKK kepada ADUN.
“Maaf, kali ini saya tak dapat berikan BKK kepada ADUN, namun sebagai gantinya saya bersetuju menyalurkan BKK kepada pusat khidmat DUN dua bulan elaun membabitkan jumlah RM14,000 setiap satu masing-masing,” katanya.
Saarani, pada Jumaat lalu mengumumkan BKK dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri ini.
Dalam pada itu, persidangan sama turut menyaksikan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar, 75, sekali lagi dipilih sebagai sebagai Ahli Dewan Negara bagi Negeri Perak untuk tempoh tiga tahun.
Selain itu, DUN Perak turut menetapkan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah.
HarianMetro-