GUATEMALA: Seramai 160 kanak-kanak bawah umur diselamatkan oleh pihak berkuasa Guatemala dari ladang yang dihuni kumpulan Yahudi ultra-Ortodoks, atas dakwaan penderaan seksual kanak-kanak.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurut seorang pendakwa di Pejabat Pendakwa Guatemala Menentang Pemerdagangan Manusia, Nancy Paiz, kanak-kanak dan remaja dari mazhab Yahudi fundamentalis Lev Tahor di tenggara Guatemala itu diselamatkan berikutan dakwaan penderaan kanak-kanak, termasuk rogol.
“Berdasarkan kenyataan pengadu, bukti yang diperolehi dan pemeriksaan kesihatan, dapat disahkan terdapat bentuk pemerdagangan manusia membabitkan kanak-kanak bawah umur ini, seperti perkahwinan paksa, penderaan dan jenayah berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Francisco Jimenez, berkata kanak-kanak bawah umur yang diselamatkan mendakwa mereka didera oleh ahli mazhab Lev Tahor.
“Sifar tolak ansur terhadap penderaan kanak-kanak,” katanya sambil menambah bahawa serbuan itu mendapat sokongan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS).
Operasi itu membabitkan berpuluh-puluh pegawai polis serta pakar psikologi dan pekerja sosial.
Ladang pertanian itu terletak 78 kilometer (km) ke tenggara Bandar Guatemala, dan amalan kontroversial mahzab Lev Tahor itu bukan perkara baharu kerana pernah menghadapi dakwaan sama pada masa lalu.
Komuniti Lev Tahor, yang diasaskan pada 1988 di Israel, mengamalkan bentuk Judaisme yang ketat dengan tafsiran undang-undang Yahudi yang merangkumi sesi doa panjang dan perkahwinan yang diatur.
Lev Tahor atau ‘Hati Murni’ dalam bahasa Ibrani, menghadapi pelbagai dakwaan penculikan, perkahwinan kanak-kanak dan penderaan fizikal sejak ia ditubuhkan pada 1980-an.
Komuniti itu menetap di Mexico dan Guatemala antara 2014 dan 2017.
Pada 2022, operasi polis Mexico di negeri Chiapas di selatan Mexico di sempadan Guatemala menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak dan remaja dari kem Lev Tahor, yang anggotanya ditangkap kerana disyaki mengambil bahagian dalam penderaan kanak-kanak bawah umur.
Ahli Lev Tahor yang menetap di Guatemala pada 2013 mengamalkan bentuk Judaisme ultra-Ortodoks di mana wanita memakai jubah hitam menutupi sepenuhnya dari kepala hingga kaki.
Terdapat juga pegawai yang sebelum ini cuba memeriksa keadaan kanak-kanak bawah umur itu tetapi disekat daripada memasuki ladang oleh anggota masyarakat dan sebaliknya, Lev Tahor menuduh pihak berkuasa melakukan penganiayaan agama.
Komuniti Yahudi Guatemala dalam satu kenyataan berkata, mazhab itu berbeza sama sekali daripada pertubuhannya sendiri dan menyatakan sokongannya kepada pihak berkuasa Guatemala menjalankan penyiasatan.
Mereka berpendapat, tindakan tegas diperlukan untuk melindungi nyawa dan integriti kanak-kanak bawah umur dan kumpulan lain yang berisiko.
Ia menggesa kerajaan dan badan diplomatik negara-negara yang mana warganegara mereka menganggotai Lev Tahor, untuk bergabung tenaga bagi melindungi hak mereka yang dicabuli.
Pihak berkuasa menganggarkan bahawa komuniti itu merangkumi kira-kira 50 keluarga dari Guatemala, AS, Kanada dan negara lain.
BHonline-