KOTA BHARU : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sedia membantu keluarga menguruskan jenazah lelaki dengan berat 420 kilogram (kg) yang meninggal dunia di Pasir Hor, di sini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Penolong Pengarah Operasi Negeri, Mohd Wildan Azhari, berkata bomba bersedia memberikan bantuan daripada segi pengangkutan untuk membawa jenazah ke hospital atau pengebumian, selain bantuan mengangkat jenazah.
Katanya, khidmat khas itu biasa disediakan bomba bagi pengurusan jenazah obesiti.
“Kita ada lori lima tan dengan jengkaut hidraulik untuk usung jenazah.
“Mungkin dengan berat arwah, tak dapat usung guna peralatan dan kita kena kekuatan anggota… jadi bomba bersedia bantu seramai mana anggota diperlukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Wildan berkata pihaknya terus ke rumah arwah Sheikh Mohd Ali Omar, 44, untuk berbincang lebih lanjut dengan keluarga.
“Bomba sedia untuk hantar jenazah ke hospital untuk urusan bedah siasat dan pengebumian namun semuanya bergantung kepada keputusan keluarga,” katanya.
Selain bantuan bomba, kakak arwah, Hanoraziah Hassan, 60 turut memaklumkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut tampil mahu membantu urusan memandikan dan pengebumian arwah.
“Alhamdulillah, urusan surat mati arwah juga sudah selesai, kami dah dapat pengesahan polis dan kini dalam proses nak urus pengebumian pula dengan bantuan penduduk kampung dan NGO yang ada hubungi kami untuk membantu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kebuntuan Hanoraziah untuk menguruskan jenazah adiknya yang seberat 420kg yang meninggal dunia jam 12 tengah hari tadi.
Sebelum meninggal, arwah sempat mendapatkan khidmat bomba selepas terperangkap di dalam tandas.
-Harian Metro