KANGAR – Kerajaan Perlis bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri termasuk kakitangan kontrak.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli semasa membentangkan Belanjawan Perlis 2025 bertemakan ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’ pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) di Kompleks DUN di sini hari ini.
“Sukacita saya mengumumkan, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam, kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri termasuk kakitangan kontrak,” katanya.
Dalam sidang media kemudiannya, Mohd Shukri berkata, pembayaran bantuan khas itu akan dibuat secara dua kali iaitu pada bulan ini dan Mac 2025 yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.83 juta.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka memberikan struktur gaji yang lebih adil dan kompetitif.
“Selaras dengan pelaksanaan SSPA berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024, penjawat awam akan memperoleh pendapatan minimum berjumlah RM2,115 sebulan.
“Dengan perbelanjaan tambahan yang perlu ditampung oleh kerajaan negeri berjumlah RM4.3 juta ini, besarlah harapan saya agar semua penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh pemegang taruh terutama rakyat di negeri Perlis yang kita cintai ini,” katanya.
Bernama-