JOHOR BAHRU : Permohonan habeas corpus dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH) Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri, Datin Azura Md Yusof disifatkan pihak pendakwaan sebagai jalan ‘pintu belakang’ untuk membebaskan pemohon dengan menggunakan sistem mahkamah.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hujah itu dikemukakan pihak pendakwaan selaku responden pada prosiding di Mahkamah Tinggi, di sini. Mewakili responden ialan Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadani Ali, Mohd Zain Ibrahim dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.
Istilah habeas corpus merujuk kepada perintah atau arahan mahkamah supaya seseorang dalam tahanan pihak berkuasa dibebaskan dan dilepaskan daripada penahanan atas sebab penahanan tidak sah dan tidak mengikut undang-undang.
Mohamad Firdaus berkata, pemohon sebaliknya perlu melakukan semakan kehakiman atau keadah lain bagi mencabar penahanan mereka, bukannya menerusi permohonan habeas corpus.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar kemudian ini, menetapkan 14 Januari depan untuk keputusan bantahan awal permohonan berkenaan yang dikemukakan bagi mencabar penahanan pasangan itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012).
Barisan peguam pemohon diketuai Datuk Rosli Kamaruddin bersama Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli,Luqman Zainal, Schanni Feizal dan Zahier Rosli.
Turut hadir, dua peguam Majlis Peguam Malaysia, R Jayabalan dan Khairul Azwad, yang memantau bagi kepentingan awam.
Abu Bakar turut membatalkan permohonan habeas corpus Pengurus Kafe Ikhwan milik GISBH di Kluang, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, selepas ia ditarik balik barisan peguam berikutan plaintif sudah dibebaskan bawah jaminan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, 30 Oktober lalu.
Permohonan habeas corpus Nasiruddin, 65, dan Azura, 57, didengar pada 30 Oktober lalu. Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pada 23 Oktober, Nasiruddin, Azura dan Mohamad Suhaimi dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan kesemua 16 individu lain kerana kes itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Dalam pada itu, Rosli ketika ditemui media berkata, jika permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura melepasi bantahan awal, pihak pembelaan akan meneruskan hujahan merit atas permohonan berkenaan.
Katanya, permohonan habeas corpus itu mengambil kira isu penting membabitkan bantahan awal, iaitu pemfailan permohonan berkenaan dilakukan sehari selepas pertuduhan ke atas pemohon di Mahkamah Sesyen Selayang.
“Ini (permohonan habeas corpus) untuk prosiding di Johor Bahru, insya-Allah lain-lain permohonan sama akan menyusul termasuk, rayuan kepada Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Nasiruddin dan Azura turut bercadang mencabar pertuduhan jenayah terancang yang difailkan di Mahkamah Selayang. Namun kes di Selayang belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, masih dalam proses, kami akan buat rayuan selain mencabar pertuduhan itu di mahkamah,” katanya.
Rosli berkata, pihaknya juga akan membuat rayuan dan memohon kerajaan, khususnya Jabatan Peguam Negara dan Menteri Dalam Negeri menimbang semula sama ada kes itu perlu diteruskan di bawah undang-undang jenayah terancang dan SOSMA atau akan berubah status.
“Kami akan mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan budi bicara mengubah status pertuduhan dan kes terhadap semua ahli-ahli GISBH yang ditahan,” katanya.
-Berita Harian