PASIR MAS – Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq akan memulakan tugas mengawal Sungai Golok bermula dari Tumpat ke Rantau Panjang di sini bermula 1 Januari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia bagi membantu penugasan di sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Balai Polis Repek di sini pada Ahad.
Sebelum itu beliau turun padang meninjau situasi banjir di negeri ini dan turut serta Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Media tempatan sebelum ini melaporkan hampir 100 anggota PGA Senoi Praaq akan membantu tugas di sempadan Kelantan-Thailand bermula 1 Disember ini, susulan pelaksanaan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram.
Mohd Yusoff berkata, kesemua mereka membabitkan dua batalion di Pengkalan Hulu dan Bidor.
Katanya, menerusi pertemuannya dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, beliau meminta untuk bantuan anggota yang bertugas di sempadan bermula 1 Disember ini.
“Saya mahukan PGA Orang Asli bantu di sempadan memandangkan mereka lebih tegas berdasarkan pengalaman lalu dan mereka ikut arahan ketua.
“Isu ketirisan faktor manusia dapat dikurangkan dengan menggunakan Orang Asli dan salah guna kuasa dapat dikurangkan. Saya bercakap begitu berdasarkan pengalaman lalu,” katanya.
SinarHarian-