BALING: “Mulanya saya sangka suami bergurau kata rumah terbakar tapi rupanya memang kejadian itu berlaku hingga menyebabkan rumah pusaka kami tinggal itu musnah semuanya,” kata Nurul Wahida Md Saad, 35.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurutnya, kejadian berlaku jam 3 pagi tadi iaitu kira-kira dua jam selepas suaminya yang juga operator kilang getah pulang bekerja syif malam di rumah mereka itu di Kampung Bukit Terabak, Kupang, dekat sini.
Katanya, ketika itu dia tinggal di rumah mentuanya di Kuala Pegang yang terletak tidak jauh dari situ kerana suaminya bekerja syif malam.
“Suami beritahu yang ketika itu dia berada dalam bilik sebelum terasa bahang panas di bahagian depan.
“Tidak lama kemudian, dia ternampak api sudah menyambar rumah itu kerana bahagian rumah pusaka itu diperbuat daripada kayu menyebabkan ia cepat terbakar.
“Tapi suami hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal sebelum menyelamatkan diri dari kebakaran itu dan terus menghubungi saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran rumah itu pada jam 3.34 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jusoh Abdul Wahab bersama lapan anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian dan turut dibantu jentera tangki air dari BBP Pengkalan Hulu, Perak.
“Kebakaran itu membabitkan dua rumah penduduk serta sebuah garaj kereta namun api berjaya dikawal tidak lama kemudian.
“Peratusan rumah yang terbakar adalah 90 peratus iaitu bagi rumah pertama manakala lima peratus rumah kedua manakala garaj kereta 90 peratus.
“Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan sebuah motosikal Modenas Kriss yang musnah terbakar 99 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
BHonline-