KUALA LUMPUR : Bukit Aman sudah melengkapkan siasatan berhubung video tohmahan terhadap pasukan itu yang dimuat naik blogger kontroversi Sir Azri atau Papagomo di YouTube, baru-baru ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan sedang menunggu arahan lanjut.
“Kertas siasatan sudah dihantar kepada AGC Jumaat lalu,” katanya dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris diambil keterangan berhubung video berbaur fitnah dan mengaibkan Ketua Polis Negara serta PDRM yang dimuat naik di YouTube.
Razarudin dilapor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengenai siasatan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya berkaitan isu Batu Puteh yang boleh menimbulkan kegusaran awam, Razarudin berkata siasatan masih berjalan.
“Kita (PDRM) belum merakam percakapan Abdul Hadi dan masih menunggu masa temujanji daripada pihak beliau,” katanya.
Abdul Hadi sebelum ini didakwa memuat naik kenyataan berhubung isu Batu Puteh yang dimuat naik di laman X.
BH sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi berhubung kenyataan beliau berkaitan isu Batu Puteh yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Razarudin dilaporkan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
-Berita Harian