Kuala Lumpur : Kerajaan tidak mengenakan sebarang cukai tersembunyi ke atas harga runcit mingguan bagi bahan api iaitu RON97 dan diesel.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, penetapan kadar bahan berkenaan tidak menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), sebaliknya ia dibuat mengikut kaedah apungan terkawal secara mingguan.
Menurutnya, kerajaan memantau harga berkenaan bagi memastikan ia mengikut standard ditetapkan.
“Untuk makluman, tiada caj tersembunyi seperti ditanya Yang Berhormat (YB).
“Selaras pelaksanaan (penyasaran) subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, penetapan harga runcit diesel secara mingguan yang dilakukan melalui apungan terkawal.
“Kita memang pantau dengan rapi mengenai harga diesel dan memastikan kadar diputuskan kerajaan memang mengikut standard,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mengulas soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai dakwaan kerajaan mengutip cukai tersembunyi bagi RON97 dan diesel susulan penetapan harga dibuat formula APM.
Sementara itu, Lim berkata, kerajaan masih dalam peringkat kajian melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana sebahagian besar mod pengangkutan bagi melakukan aktiviti ekonomi serta program dan projek pembangunan di dua wilayah ini menggunakan bahan api diesel.
“Malah, keadaan geografi dua wilayah ini juga mengehadkan kebolehlaksanaan mekanisme ‘fleet card’ yang memerlukan kemudahan infrastruktur lebih sesuai terutama di pedalaman.
“Bagaimanapun, kita masih dalam peringkat kajian untuk memastikan pelaksanaan (penyasaran subsidi diesel) mungkin dibuat pada masa hadapan tetapi memerlukan lebih masa untuk kajian,” katanya.
Bagi menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai kelemahan pelaksanaan subsidi diesel dan langkah mengatasinya, Lim turut mengakui kelemahan itu kerana tempoh penyasaran subsidi diesel masih baharu dilaksanakan, namun pihaknya sentiasa memantau dari semasa ke semasa.
“Kita masih dalam libat urus dengan pihak berkenaan dan semua industri berkaitan.
“Jika ada apa-apa penambahbaikan, kita tentu akan lakukan, namun buat sementara kita masih (baru) dari Jun lalu hingga kini (pelaksanaan penyasaran diesel) kurang enam bulan.
“Kita akan terus pantau pelaksanaan diesel bersubsidi dan terus membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
-Harian Metro