Kota Tinggi : Selepas tiga hari hilang, kanak-kanak berusia sembilan tahun yang jatuh dalam longkang dekat Taman Kota Jaya di sini, akhirnya ditemui, pagi tadi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mayat mangsa ditemui pada 10.20 pagi, kira-kira dua jam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga diteruskan.
“Hasil pemantauan yang dijalankan oleh pasukan SAR dengan menyusuri Sungai Johor menggunakan bot, telah menjumpai mayat dipercayai seorang kanak-kanak lengkap berpakaian, yang terapung di atas permukaan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, waris kemudian membuat pengecaman terhadap mayat dan mengesahkan kanak-kanak yang dilapor hilang pada Isnin lalu.
Katanya, mayat kemudian dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan mati mengejut.
Kelmarin, Yusof dilaporkan berkata, kanak-kanak lelaki dikenali Mohammad Rayyan Alif Mohd Sharif, 9, dipercayai jatuh longkang yang dalam dan berarus ketika bermain di kawasan itu ketika hujan, kira-kira jam 3 petang.
SAR kemudian digerakkan membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
-Harian Metro