KUALA TERENGGANU – Penyertaan mana-mana ahli Pemuda UMNO Terengganu dalam himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin atas kapasiti peribadi, bukan mewakili parti.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, langkah itu sebagai tanda sokongan terhadap Najib yang selama ini banyak menabur jasa kepada ahli dan parti berkenaan.
Menurutnya, mereka yang ingin hadir ke mahkamah diingatkan agar tidak membuat sebarang provokasi atau perbuatan yang boleh mencetuskan kekacauan.
“Esok suatu peristiwa besar negara bakal berlaku, bukan kerana himpunan mega menyokong Datuk Seri Najib tetapi pendengaran keputusan berkenaan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
“Malahan keputusan esok tidak mengurangkan langsung hukuman penjara Najib, cuma pengubahan bentuk hukuman bakal terlaksana.
“Oleh itu, Pemuda UMNO Terengganu mengingatkan jangan ada pihak yang cuba mencetuskan kekacauan, menangguk di air yang keruh atau cuba melaga-lagakan pemimpin UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Tengku Haphiz berkata, pihaknya juga percaya kerajaan sedia mendengar suara rakyat, lebih-lebih lagi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turut pernah menerima nasib sama seperti Najib.
“Beliau pasti memahami kecintaan para penyokong terhadap susuk tubuh pimpinannya.
“Andai dapat melihat sekejap sahaja Najib, cukup menghilangkan rindu rakyat terhadapnya.
“Percayalah, jika kami dibenarkan berjumpa Najibseketika, tanpa ada sekatan dan ugutan, pasti benci menjadi kasih, dendam menjadi sopan, perpecahan menjadi perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Haphiz berkata, kehadiran orang ramai dalam himpunan itu melambangkan solidariti sekali gus membentuk keharmonian antara satu sama lain.
“Marilah semua, jadikan esok bukan himpunan membenci dan memaki hamun, tetapi jadikanlah ia sebagai representasi roh keadilan dan kesepakatan dalam erti Malaysia yang sebenar,” katanya.
-Sinar Harian