KOTA TINGGI – Hasrat seorang wanita untuk melangsungkan perkahwinan tidak kesampaian apabila maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 52 Jalan Johor Bahru-Mersing, pada Jumaat.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan berkenaan yang melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dengan lori jenis Hino.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu wanita warga tempatan berusia 22 tahun bersama dua adiknya yang berusia 14 dan 22 tahun dalam perjalanan pulang ke Tanah Merah, Kelantan dari Kota Masai.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu Perodua Myvi dipercayai cuba untuk memotong kenderaan di hadapannya, bagaimanapun, kenderaan tersebut telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu berlanggar dengan lori jenis Hino yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 40 tahun.
“Perlanggaran itu menyebabkan pemandu Myvi terbabit maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian badan manakala kedua-dua adiknya yang cedera dan dirujuk ke Hospital Kota Tinggi bagi rawatan lanjut,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Mangsa yang cedera pula dirujuk ke hospital sama bagi menerima rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
SinarHarian-