KUALA LUMPUR: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasminya.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Bahagian itu juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara itu.
BHEUU, JPM dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.
BHEUU sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai Urus Setia dengan penuh integriti, ketelusan, dan profesionalisme selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang sedia ada.
Segala urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan.
Menurut BHEUU, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya kali ke-61 yang telah diadakan pada 29 Januari 2024 dengan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mesyuarat tersebut telah mempertimbangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memberi kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun 2024.
Titah Adendum dikatakan diperkenan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Menurut BHEUU, ia sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya (Lembaga Pengampunan) adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Lembaga Pengampunan bukan sebuah agensi atau jabatan Kerajaan di bawah BHEUU, JPM,” kata kenyataan itu.
Lembaga Pengampunan wujud di semua peringkat negeri dan dipengerusikan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri. Setiap Menteri Besar atau Ketua Menteri turut menjadi anggota Lembaga tersebut.
Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula, Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Oleh kerana Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya dianggap sebagai entiti setaraf negeri, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menjadi anggota Lembaga tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (11) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Undang-undang bukan anggota Lembaga Pengampunan
Oleh yang demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
Prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88].
Semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut. Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti.
BHonline-