Petaling Jaya: Perbicaraan kes ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu akan diteruskan bermula 3 Februari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk melapangkan perbicaraan yang dijadualkan pada Februari dan Mac ini.
“Oleh kerana permohonan (notis usul) ini masih belum didengar di Mahkamah Tinggi (Shah Alam), mahkamah akan meneruskan dengan perbicaraan pada 3 sehingga 7 Februari ini,” kata hakim itu ketika sebutan kes hari ini.
Sebelum ini, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, memohon untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada Februari dan Mac ini, sementara menunggu pelupusan usul notis di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac depan ini dan seramai 15 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan.
Dalam prosiding hari ini, Haresh berkata, sekiranya perbicaraan diteruskan ia akan memprejudiskan kedua-dua anak guamnya malah pihak pendakwaan juga tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menerima sesalinan notis usul secara emel yang dikemukakan pihak pembelaan pada 24 Januari lalu.
“Saya percaya sudah ditetapkan sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Februari ini.
“Oleh itu, saya memohon arahan lanjut pihak mahkamah selain pihak pendakwaan bersedia dengan perbicaraan,” kata Kamarul Iman.
Sementara itu, Haresh mengesahkan pihak pembelaan menyerahkan dokumen (notis usul) pada Jumaat lalu dan Mahkamah Tinggi sudah menerima salinan notis usul berkenaan.
“Saya sahkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Timbalan Pendaftar pada 4 Februari ini untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Mahkamah Tinggi berkaitan pemfailkan afidavit,” katanya.
Zaim Ikhwan dan Ismanira menfailkan notis usul menerusi Tetuan Wong & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Pasangan suami isteri itu memohon dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka pada 13 Jun tahun lalu selain prosiding perbicaraan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, ditangguhkan.
Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu yang diperoleh menerusi pihak pembelaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka selaku pemohon tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Selain itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan dikenakan terhadap mereka adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah Sesyen dan pasangan itu telah diprejudiskan dengan serius akibat daripada pertuduhan itu menyebabkan kegagalan keadilan memerlukan semua pertuduhan itu diketepikan dan dibatalkan.
Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira juga mendakwa pertuduhan dikenakan terhadap mereka selaku pemohon tidak mendedahkan apa-apa kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan dihadapi mereka tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah yang tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
HarianMetro-