KUALA LUMPUR: Wanita berusia 61 tahun yang juga ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan seorang usahawan disyaki ahli pertubuhan sama akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan memiliki hasil penerbitan larangan berkait Al-Arqam, September lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Aishah Bula Tajudin, 61, dan Mohammad Nazif Jamluddin, 50, memaklumkan perkara itu melalui peguam mereka, Boestamam Ahmad ketika sebutan kes berkenaan di dua Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Menurut peguam berkenaan, dalam kes Aishah yang disebut di hadapan Majistret Farah Nabihah Mohammad Dan, representasi akan difailkan dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen berkaitan kes yang diperoleh daripada pendakwaan.
Bagaimanapun, Boestamam berkata, wanita itu tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini, dan memohon kehadirannya dikecualikan pada sebutan kes akan datang kerana masih tertekan dengan pemergian suaminya yang meninggal dunia pada bulan lalu.
“Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah ekoran tidak dapat hadir pada hari ini. Beliau masih tertekan dengan kematian suaminya pada 18 Disember lalu. Sebelum ini, suami tertuduh yang mencari nafkah untuk keluarga,” kata peguam itu.
Di hadapan Majistret S Mageswary, Boestamam yang turut mewakili Mohammad Nazif memohon perkara sama atas alasan serupa.
“Kami baru menerima dokumen berhubung kes ini pada tarikh lalu dan kami juga diarah untuk mengemukakan representasi bagi kes ini. Tertuduh hanya tukang masak yang buat katering di tempat kejadian (Ekhwan Catering).
“Jadi, representasi akan dikemukakan kepada AGC (Jabatan Peguam Negara) bagi menjelaskan perkara itu,” katanya.
Selepas mendengar hujahan peguam, Mageswary dan Farah Nabihah menetapkan 19 Februari ini bagi mengetahui status permohonan representasi kedua-dua tertuduh.
Aishah didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkait Al-Arqam, antaranya Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi, Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah, Siri Terkini Era kasih Sayang ‘Abuya Pemimpin Kasih Sayang’ dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, tanpa sebab yang munasabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields, di sini, pada 11.30 pagi 21 September lalu. Dia dituduh mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.
Mohammad Nazif pula didakwa memiliki dua hasil penerbitan larangan berkait Al-Arqam, iaitu Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang dan Meruntuh Berhala di Tiongkok di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala pada jam 10.30 pagi, tarikh sama, mengikut akta dan hukuman serupa seperti Aishah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulhilmi Latif dan Amritpreet Kaur Randhawa.
Bernama-